PERINTAH SUPAYA MENYERAHKAN AMANAH KEPADA YANG BERHAK DAN BERLAKU ADIL
Pengenalan
Dalam membahaskan isu amanah dan adil ini, kebanyakan para
ulamak dan pemimpin Islam sering memilih surah
ayat 58 dari surah An-Nisa’ sebagai bahan rujukan utama. Ini adalah kerana ayat ini membahaskan dua prinsip kepimpinan yang penting secara serentak iaitu penyerahan amanah kepada yang berhak dan perintah supaya berlaku adil.
Firman Allah SWT dalam
Al-Quran yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak
menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil.Sesungguhnya Allah dengan
(suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada
kamu.Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.
An-Nisa’ 4 /Ayat 58
Kupasan Ayat
Menurut Tafsir Al-Marahgiy bahawa ayat di atas menekankan dua elemen
penting iaitu al-amanah dan al-adl. Sekiranya diambil penjagaan
harta seseorang sebagai analoginya, maka al-amanah itu adalah sesuatu yang
dijaga untuk disampaikan kepada si
pemiliknya, manakala al-adl itu adalah menyampaikan yang hak kepada
pemiliknya melalui jalan yang terdekat.
Amanah itu mencakupi beberapa
aspek yang utama di antaranya :
i) Amanah seseorang hamba kepada Tuhannya
seperti mengerjakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang
dilarangNya.
ii) Amanah hamba Allah SWT sesama
mereka seperti mengembalikan barang yang
ditugaskan untuk dijaga kepada si
pemilik bila diperlukan.
iii) Amanah seseorang hamba Allah
SWT kepada dirinya sendiri termasuklah tidak melakukan perkara yang merugikan
diri sendiri seperti meminum arak dan memakan riba’.
Menurut Tafsir Ibnu Kathir pula bahawa Allah SWT memberitahu Dia memerintahkan hamba-hamba-Nya menyampaikan
amanah kepada yang berhak menerima atau memikulnya.
Perkataan amanah dalam ayat ini menjangkau perkara yang
diperintahkan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang dimulai dengan beriman
kepada Tuhan Yang Maha Esa dan kemudian diikuti dengan kewajiban lain seperti solat, zakat, puasa, menunaikan nazar, berbuat baik sesama
manusia hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi sekali iaitu berjihad dijalan
Allah SWT.
Menurut Tafsir Fi Zilal Quran
Sayyid Qutb Rahimahullah pula inilah tugas-tugas kelompok Muslimin dan inilah
akhlak mereka iaitu menunaikan amanah
dan tanggungjawab kepada yang berhak memimpin dan menjalankan pengadilan sesama
manusia dengan adil mengikut peraturan Allah SWT dan segala pengajaran-Nya. Perkara
yang diamanahkan itu adalah bermula dari amanah agung, iaitu
amanah yang diserahkan Allah SWT kepada fitrah insan, amanah yang enggan
diterima dan takut dipikul oleh langit, bumi dan gunung- gunung lalu ianya
dipikul oleh makhluk yang bernama insan.
Allah SWT telah berfirman dalam
surah Al-Ahzab yang bermaksud :
Sesungguhnya Kami telah
mengemukakan amanat kepada langit , bumi dan gunung-gunung, maka semuanya
enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya,
dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan
amat bodoh.
Al-Ahzab 33/Ayat 72
Amanat utama yang dipikul oleh
manusia ialah beriman kepada Allah SWT
dan melahirkan ketaatan kepada-Nya dan diikuti dengan berdakwah kepada
orang lain supaya turut beriman kepada Allah SWT dan diikuti oleh amanat
memperjuangkan Islam dan menegakkan ‘addin di muka bumi Allah SWT ini.
Perkataan al-amanah ini selalunya
digandingkan dengan perkataan al-adl. Allah SWT menyuruh manusia
berlaku adil kerana sifat adil itu mendekatkan manusia kepada ketakwaan kepada
Allah SWT. Ringkasnya berlaku adil itu adalah memberikan hak kepada pemiliknya
dan juga meletakkan sesuatu perkara itu pada tempatnya yang betul.
Menetapkan dan menegakkan
hukum-hukum Allah SWT dengan cara yang
adil adalah perkara yang dituntut kepada mereka yang berkuasa dan juga
kepada yang diamanahkan memikul tugas
ini.
Firman Allah SWT dalam surah
Al-Hadid yang bermaksud :
Sesungguhnya Kami telah mengutus
rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan
bersama mereka al-Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan
keadilan.
Al-Hadid
57/Ayat 25
Melaksanakan Tuntutan Menegakkan Amanah Dan Berlaku Adil
Perintah melakukan keadilan ini
wajib dilaksanakan. Biasanya ianya
dapat dilakukan dengan baik terhadap masyarakat umum, namun kadangkala
amatlah besar cabarannya kalau menjatuhkan hukuman dalam perkara yang
melibatkan kaum kerabat sendiri.
Hal ini telah dinyatakan oleh
Allah SWT dalam firman-Nya yang
bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman
jadilah kamu orang-orang yang benar -benar penegak keadilan, menjadi saksi
kerana Allah biarpun terhadap diri mu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu.
Jika ia kaya atau miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka
janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan
jika kamu memutar-balikkan (kata kata) atau enggan menjadi saksi, maka
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.
An-Nisa’
4/Ayat135
Biasa juga kita berhadapan dengan
suasana dimana pihak pendakwaraya menjalankan pendakwaan secara berpilih pilih (selective prosecutions). Pihak pendakwa
akan mengambil tindakan cepat dan tegas
kepada pihak yang tidak bersefahaman
dengan pihak pemerintah dan sebaliknya
mereka melewat-lewatkan dan
kadang-kalanya tidak mengambil sebarang
tindakan kepada pihak yang rapat dengan
pemerintah dan juga orang-orang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam
masyarakat.
Mereka yang melakukan
ketidakadilan seperti itu telah diberi
amaran oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang berikut yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman,
hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah,
menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali kali kebencianmu terhadap
sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah
kerana adil itu lebih dekat daripada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Al-Maidah
5/Ayat 8
Contoh lain ialah isu
mengenai pemberian royalti petroleum kepada kerajaan negeri telah tidak dibayar kerana alasan kerajaan negeri berkenaan diperintah oleh
parti pembangkang. Penafian royalti petroleum
sebegini bererti konsep federalisma
telah tidak dihormati. Ini bermakna
rakyat negeri berkenaan tidak dilayan dengan adil oleh Kerajaan Persekutuan. Dasar pemerintahan yang tidak adil itu boleh mendatangkan ketidakpuasan kepada
pihak yang teraniaya dan ini boleh menimbulkan rasa permusuhan antara dua pihak secara
berpanjangan.
Hal ini telah diperingatkan oleh
Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu
berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah
melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia
memberi pengajaran kepada mu agar kamu dapat mengambil pelajaran.
An-Nahl
16/Ayat 90
Dalam negara kita banyak kes kematian orang-orang yang tertuduh (atau disyakki) telah
dipertikaikan oleh keluarga atau
waris mereka, contohnya kes-kes
kematian beberapa orang rakyat
biasa dalam tahanan Polis atau
diperingkat soal-siasat oleh Badan Pencegahan Rasuah. Pihak keluarga mereka
telah mendakwa yang keadilan tidak
dilaksanakan sepenuhnya keatas anak-anak
mereka yang ditahan oleh Jabatan Penguatkuasaan berkenaan itu. Mereka mendakwa banyak fakta telah
disembunyikan oleh Pihak Penguatkuasaan mengenai sebab-sebab utama kematian orang-orang tahanan itu.
Allah SWT telah memperingatkan
kita dengan firman-Nya yang bermaksud :
Sesungguhnya Kami telah
menurunkan Kitab kepada mu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili
antara manusia dengan apa yang Allah telah wahyukan kepadamu, dan janganlah
kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang-orang
yang khianat.
An-Nisa’
4/Ayat 105
Dalam negara kita sering berlaku tanah-tanah rakyat biasa diambil-alih oleh
pihak pemerintah begitu mudah untuk sesuatu projek pembangunan. Kalau ada pun
pampasan yang diberikan biasanya tidak
memuaskan hati penduduk-penduduk yang
terlibat. Perkara seperti ini menjadi
isu besar apabila setiap kali projek
besar dimulakan, tanah-tanah rakyat yang menjadi mangsa, diambil-alih dengan
harga yang rendah kononnya diatas nama
pembangunan.
Di samping isu rampasan tanah
ini, terdapat juga projek-projek yang
didakwa boleh membahayakan kesihatan orang awam juga hebat mendapat tentangan
rakyat. Pihak Berkuasa Negeri yang
meluluskan projek ini telah dikecam oleh rakyat bahawa projek ini
diluluskan dan diteruskan di atas pertimbangan ekonomi semata-mata. Rakyat
jelata membangkitkan isu loji yang berbahaya ini bagi mengelakkan masalah
kesihatan dan alam sekitar berlaku seperti yang pernah dialami oleh penduduk berdekatan projek-projek yang lain sebelumnya.
Dalam Al-Quran, Allah SWT telah
memperingatkan pihak pemerintah yang mentadbir
urusan rakyat dengan firman-Nya
yang bermaksud :
Dan Dialah yang menjadikan kamu
penguasa-penguasa di bumi dan dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian
(yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikanNya
kepadamu.Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaanNya dan sesungguhnya Dia
Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
Al-An’am
6/Ayat 165
Islam sememangnya mementingkan pembangunan fizikal, walau
bagaimana pun kesejahteraan rakyat perlulah diutamakan. Pembangunan negara
mestilah seimbang diantara pembangunan kebendaan dengan pembangunan kerohanian
rakyat jelata. Pembangunan yang tidak seimbang biasanya mendatangkan padah yang
besar.
Allah SWT telah mengingatkan kita dalam firmanNya yang bermaksud:
Dan Allah telah membuat suatu
perumpamaan (dengan) sebuah negeri yang dahulunya aman tenteram, rezeki datang
kepadanya dengan melimpah-ruah dan segenap tempat, tetapi (penduduknya)
mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka kelaparan dan ketakutan, disebabkan apa yang
selalu mereka perbuat.
An-Nahl
16/Ayat 112
Allah SWT yang bersifat Ar-Rahman
dan Ar-Rahim itu telah memberikan rezeki
yang mencukupi kepada hamba-hambaNya. Persoalan yang timbul ialah apakah
kekayaan itu telah dibahagikan oleh
pemerintah secara adil ?
Malaysia telah melaksanakan
Dasar Ekonomi Baharu (DEB) Fasa 1 mulai
tahun 1971 hingga 1999. Matlamat
asalnya adalah untuk meningkatkan ekuiti kaum bumiputera dari 2.4% sehingga 30% diakhir
tahun 1999 lalu. Namun demikian setelah tamat tahun 1999 ekuiti Bumiputera
masih belum melepasi takat 20% meskipun kerajaan mendakwa telah memberikan
banyak pertolongan dan insentif. Persoalannya adakah pihak yang diberikan
tanggung-jawab menjayakan program ini
telah melaksanakan tugas
mereka dengan penuh amanah? Apa yang
kita lihat hari ini, walaupun ramai bumiputera yang menjadi jutawan, namun keseluruhan kaum bumiputera masih
ramai yang miskin dan daif.
Polisi yang menyebabkan
kekayaan negara hanya berligar
dikalangan segelintir ahli masyarakat dan tidak diagihkan secara saksama telah
ditegur oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam surah Al-Hasyr yang bermaksud:
Dan apa sahaja harta rampasan
(fay’i) yang diberikan Allah kepada rasulNya
yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang yang miskin dan
orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara
orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberi Rasul kepadamu
terimalah dia. Dan apa yang dilarang kepada kamu tinggalkanlah; bertakwalah
kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat
keras hukumanNya.
Al-Hashr
59/Ayat 7
Kebelakangan ini telah
terbongkar berita skandal yang
melibatkan projek ternakan bernilai ratusan juta ringgit yang melibat keluarga
seorang pemimpin politik dan juga
skandal projek berbilion ringgit yang
dilakukan oleh ahli-ahli politik dan korporat di sebuah pelabuhan bebas cukai yang kini
menghadapi pelbagai masalah. Kedua-dua kes ini ada perbicaraan
yang berjalan di mahkamah sekarang ini.
Inilah di antara dua contoh di mana
pihak-pihak yang diberikan amanah telah didakwa di mahkamah kerana gagal menjalankan tanggungjawab
mereka.
Bagi yang mengabaikan tanggungjawab melaksana dan
memantau projek-projek ini, Allah SWT
telah memberikan peringatan dalam firmanNya yang bermaksud:
Maka tatkala mereka melupakan
peringatan yang telah Kami berikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua
pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan
apa yang diberikan kepada mereka.Kami seksa mereka dengan amat mengejut, maka
ketika itu mereka pun berputus asa.
Al-An’am
6/Ayat 44
Satu lagi projek awam di mana berlakunya kes tidak amanah ialah projek sebuah stadium yang telah runtuh bumbungnya setelah
beroperasi beberapa bulan. Sebelum itu rakyat dikejutkan dengan berita begitu banyak makmal komputer di beberapa sekolah
mengalami keretakan yang serius. Persoalannya apakah pemborong-pemborong yang
dilantik untuk kerja-kerja pembinaan ini telah dilantik secara adil oleh Pihak
Berkuasa ? Apakah pemborong-pemborong ini benar-benar berkelayakan dan
berpengalaman ?
Sayyid Qutb Rahimahullah, mengingatkan kita bahawa sekiranya kita membantu atau cenderung kepada mereka
yang tidak adil dan zalim, ini boleh
diertikan sebagai pengiktirafan kita
terhadap kemungkaran mereka, juga bererti kita bersubahat ke atas dosa melakukan kemungkaran bersama-sama mereka.
Sebagai contoh yang lain kita dapati sehingga kini sebahagian besar
rakyat Malaysia masih mempertikaikan senarai pengundi dan juga kaedah perlaksanaan pilihan raya di negara
ini yang dikelolakan oleh sebuah Suruhanjaya. Desakan rakyat supaya Badan ini
membersihkan senarai pengundi ini tidak dilayan dengan sewajarnya. Akibat rasa tidak puas hati ini berlakulah perhimpunan
kebangkitan rakyat secara besar-besaran
di ibu negara.
Allah SWT berfirman dalam surah
Hud yang bermaksud:
Dan janganlah kamu cenderung
kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka dan
sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian
kamu tidak diberikan pertolongan.
Hud
11/ Ayat 113
Berpuluh tahun lamanya rakyat telah dibelenggu oleh pemerintah dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta
Hasutan (Sedition Act) 1970, Akta
Rahsia Rasmi (OSA) 1972, Akta Percetakan 1984 dan terkini diperkenalkan pula Akta
Perhimpunan Aman (PAA) 2012. Satu contoh kezaliman yang berlaku ialah penahanan beramai-ramai pemimpin
politik dibawah Akta ISA melalui
Operasi Lalang pada tahun 1987. Apakah tindakan pemerintah ini boleh dikira sebagai sesuatu yang adil?
Banyak contoh-contoh lain yang
menunjukkan pihak pemerintah telah mengambil tindakan yang tidak selari dengan hak-hak
kebebasan rakyat seperti yang
terdapat dalam Perlembagaan Negara.
Kesimpulan
Akhir sekali sesuai dengan
perintah Allah SWT dalam surah An-Nisa’ 4:58 di atas, rakyat hendaklah membuat keputusan yang bijak semasa memilih pemimpin negara nanti supaya
negara ini akan lebih sejahtera dan
barakah. Dengan pemerintahan yang amanah dan adil sahajalah keadilan dapat
ditegakkan. Ini bermakna teraju pemerintahan negara ini mestilah dipegang oleh
kalangan pemimpin yang beriman, bertakwa dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai `role model’ utama kerana Rasulullah SAW
telah menunjukkan contoh yang unggul bagaimana negara Islam ditegakkan di Madinah lebih
1400 tahun yang lalu itu telah
memberikan kesejahteraan. Negara Islam Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW juga mempunyai komposisi masyarakat yang majmuk seperti negara kita sekarang ini.
Kita harapkan dengan kepimpinan
yang terdiri daripada mereka yang takutkan Allah SWT sahajalah segala macam
bentuk kezaliman, ketidak-adilan sosial
dan ekonomi serta apa juga penyalahgunaan kuasa dapat diperbetulkan.
Kita harapkan perdapatan per kapita rakyat dapat
dipertingkatkan dan juga indeks persepsi rasuah (CPI) negara ini yang berada di tahap yang mengecewakan akan dapat
dibaiki lagi. Begitu juga hutang negara (national
debt) yang berada di peringkat kritikal sekarang ini dapat dikawal segera supaya Malaysia tidak jatuh muflis
seperti beberapa negara di Eropah dan
Afrika.
Sesungguhnya negara ini amat kaya dengan hasil bumi di laut dan daratan
serta rakyatnya mampu berdaya saing
dengan masyarakat antarabangsa yang lain. Cuma kita perlukan pimpinan-pemimpin
utama yang memenuhi ciri-ciri ulul amri seperti yang dituntut oleh ajaran Islam untuk
memimpin negara ini menjadi negara yang barakah, mendapat perlindungan dan
keampunan dari Allah SWT.
Wallahu’alam.
Februari 2013
Di antara sumber rujukan:
Al-Quran Dan Terjemahannya – Terbitan Pustaka Antara
Tafsir Al-Maraghiy – Terjemahan Drs. Mohamad Thalib
Tafsir Ibnu Kathir – Terjemahan H. Salim Bahreisy dan H. Said
Bahreisy
Tafsir Fi Zilal Quran
Sayyid Qutb – Terjemahan Yusof Zaki Haji Yaakub
Gambar Hiasan : Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim dan lain-lain sumber daripada www.google.com
Comments
Post a Comment