SURAT TERBUKA BUAT PRESIDEN BARRACK OBAMA
BENARKAH DEMOKRASI UNTUK SEMUA?
Presiden Barack Obama,
Semoga Tuan dan
pentadbiran Tuan tahu bahawa seluruh warga dunia yang mencintai keamanan,
khasnya orang Islam, adalah dalam kejutan serta sangat marah akan ‘massacre’ atau pembunuhan beramai-ramai
yang berlaku di Dataran Raba’ah dan Nahda di Mesir.
Sumber Ikhwan Muslimin mutakhir meletakkan lebih 2,000 terbunuh dengan lebih
10,000 yang cedera secara serius termasuk orang awam, wartawan dan jurugambar.
Pendirian
Tuan yang tidak keruan mengenai penyingkiran Presiden Morsi sebelum ini dan
kegagalan yang disengajakan untuk tidak mengutuknya sebagai ‘rampasan kuasa
tentera’ sangat dikesali dan amat membingungkan dunia.
Tanpa
menidakkan usaha pentadbiran Tuan yang ditanggapi sebagai tindakan tertekan
tetapi terlambat mutakhir ini, khasnya percubaan John Kerry dan Senator John
McCain, bagi menjayakan perdamaian, namun, langkah lebih awal yang tegas
mengutuk rampasan kuasa tentunya mampu mengurangkan, kalau pun tidak dapat
menghindari keseluruhan impak buruk tragedi ini.
Sikap
ketidaktentuan Tuan telah mengakibatkan kebuntuan sekaligus menjadi pemangkin
tercetus satu bencana nasional bahkan tragedi kemanusiaan yang bakal
meninggalkan dampak geo-politikal yang besar di rantau Timur Tengah dan Afrika
Utara.
Presiden Obama,
Perbuatan
media Barat, secara berterusan, melabelkan Ikhwan Muslimin sebagai kumpulan
‘Islamis’ adalah sesuatu yang disengajakan dengan berniat buruk. Percubaan
terbaru media Barat memburukkan mereka dengan lebel ‘violent’ atau ‘ganas’ dan ‘bekas pengganas’ adalah lebih jahat
lagi.
‘Islamis’
dan ‘Islamisme’ adalah label jelek dalam pemikiran politik Barat yang bertujuan
membezakan dan mengasingkan kelompok itu daripada orang ‘Islam biasa’ lain atau
‘ordinary Muslims’.
Mentakrifkan
politik Islam sebagai ‘gerakan kontemporari yang berhasrat mengetengahkan Islam
sebagai sebuah ideologi politik dan projek penubuhan Negara Islam’ dan orang
yang berpegang dengan pandangan ini sebagai kumpulan ‘Islamis’ adalah silap
sejak dari mula lagi.
Hakikatnya
bahawa ‘orang Islam biasa’ yang memberi mandat dan sokongan kepada kumpulan
Islam di Tunisia, Maghribi, Mesir dan di negara dunia Islam lain, mengisyarat
serta mengesahkan bahawa ‘orang Islam’ umumnya mengiktiraf dan sangat memahami
kehadiran, kepentingan dan peranan Islam dalam ruang awam dan pengurusan
pemerintahan atau tata-kelola sosio-politik negara masing-masing.
Kemenangan pihak Islamis
sama ada bersendirian atau bersama rakan-rakan koalisi mereka adalah bukti atau
testimoni jelas sokongan hakikat ini.
Presiden Obama,
Pemimpin
Islamis dan organisasi-organisasi politik mereka mahu mempercayai bahawa mereka
boleh serta mampu sama-sama bertanggungjawab dan berperanan sebagai peserta
atau aktor politik penting, bukan sahaja dalam proses pembangunan semula
negara, tetapi juga menyumbang kepada pemurnian semula peradaban manusia.
Pengalaman
gerakan Islam dan parti-parti politik mereka, telah membuktikan bahawa kumpulan
Islamis boleh memikul peranan itu, sekaligus mendukung objektif-objektif
demokrasi.
Tidak
dapat disangkal bahawa Presiden Morsi dan Ikhwan Muslimin serta rakan-rakan
koalisi mereka terpaksa berdepan dengan tugas maha berat bagi menebus kecamuk
ekonomi dan keburukan politik sebuah negara yang baru sahaja mengalami pasca
revolusi dengan segala macam kegiatan subversif bagi menjatuhkan kerajaan
mereka.
Cabaran
ini bukan satu yang kepalang sifatnya serta menuntut keupayaan dan akumen
kepemimpinan yang tajam dan pengalamn luas. ‘Islamis’, khasnya di Mesir dan
Timur Tengah, sesungguhnya adalah kelompok yang belum pernah mengurus kuasa dan
pemerintahan untuk sekian lamanya.
Ternyata
Presiden Morsi dan pentadbiran pimpinannya tidak terlepas daripada kekhilafan tersebut
dan perlu mengambil tanggungjawab atas beberapa kelemahan dan tanggapan
kegagalan pelbagai pihak. Morsi juga mengakui bahkan telah memohon maaf akan
kesilapan-kesilapan pentadbirannya.
Presiden Obama,
Namun,
secara jujur, bolehkah Tuan berharap bahawa orang Islam, terutama kelompok yang
dinamakan kumpulan Islamis itu, akan berterima kasih dan terhutang budi kepada
Amerika Syarikat dan Angkatan Tentera Mesir kerana ‘menyelamatkan negara itu
daripada tragedi persengketaan serta mahu memulihkan demokrasinya’?
Apakah
Tuan mahu dunia mempercayai bahawa Mohammed Morsi ancaman kepada demokrasi lalu
mewajarkan berlakunya rampasan kuasa tentera?
Bagaimanakah
Tuan mahu jelaskan kepada dunia akan hakikat bahawa Tuan menyokong penyingkiran
secara ganas serta tidak demokratik seorang Presiden yang memenangi
pilihanraya bebas dan adil oleh angkatan tentera dan sekumpulan ahli politik
yang kecundang dalam pilihanraya Mesir sebelum itu?
Apakah
Tuan mahu kami mempercayai bahawa sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Presiden,
Morsi telah menunggangi dan memperalat proses serta institusi politik yang
berada di tangannya bagi mencapai objektif-objektif sempit kepartiannya sekaligus
membelakangi kemaslahatan rakyat?
Apakah persoalan ini
mampu Tuan sendiri yakini dan dijawab secara tuntas sehingga mewajarkan
penggunaan kuasa dan kekerasan melampau terhadap rakyat Mesir yang bertekad
memperjuangkan keamanan dan kemurnian demokrasi negara mereka itu?
Presiden Obama,
Dengan
Mesir sekali lagi berada di bawah pemerintahan dan undang-undang tentera, kami
semakin menyedari akan sudut-sudut gelap percaturan pentadbiran Tuan serta
Barat vis-à-vis demokrasi dan
pemerintahan yang sah di Timur Tengah dan tempat lain di dunia membangun.
Malang
sekali, cerah obor harapan dan demokrasi yang anda hulurkan ke Dunia Ketiga
semakin menyuram kini dan gelap dek racun serta bisa hipokrasi dan dwi-standard Tuan.
Rupa-rupanya
ada satu ‘standard’ bertujuan
membiayai rakan subahat Tuan dalam Angkatan Tentera Mesir dan ahli-ahli politik
sekularnya, sementara standard yang
kedua bermatlamat melemahkan Ikhwan Muslimin yang terpilih secara
popular, sekaligus memetik picu dendam dan senjata tentera yang
muncungnya dihalakan ke jantung rakyat Mesir.
Hari
ini, hati kami luluh dan tekak kami terasa mual ketika menyaksikan betapa
demokrasi diganyang semau-maunya melalui pembantaian rakyat seperti sedang
berlaku di Mesir hasil subahat Tuan dengan junta tentera dan ahli politik
sekular yang gagal tidak dipilih itu.
Setelah
sekian lama kami, kelompok yang Tuan label ‘Islamis’ berusaha mendekati dan
terlibat sama dalam proses demokrasi dengan jujur dan harapan menggunung, maka
hari ini tentu menjadi begitu sukar untuk meyakinkan kelompok yang skeptik atau
sangat sangsi di kalangan orang Islam akan kejujuran demokrasi itu sendiri
kerana mereka kerap menjadi mangsa atau acapkali menyaksikan perkara sebaliknya
serta kecewa dengan dwi-standard Tuan dan pihak Barat.
Biarpun
Tuan tampak bersungguh mengadvokasi demokrasi seantero dunia, tanggapannya kini
adalah “Benarkah Demokrasi Untuk Semua?”
DR. DZULKEFLY AHMAD,
Pusat
Penyelidikan,
Parti
Islam Se-Malaysia, PAS,
14
Ogos 2013 / 7 Syawal 1434 H
Ini adalah pendapat peribadi penulis. Walaubagaimanapun renung-renungkan dan selamat beramal …
PASTIKAN :
# Jom hulurkan bantuan kepada rakyat Mesir dengan apa saja cara yang kita mampu walaupun dengan berkorban sedikit wang ringgit untuk mereka.
# Doakan kepada mereka agar keamanan dan kesejahteraan akan tiba masanya dengan bantuan Allah SWT.
# Nantikan pandangan OIC dan MALAYSIA dalam isu-isu ini.
-Admin-
Comments
Post a Comment