Siaran Media : 'BATEQ JUNGLE HUT' Tarikan terbaru di Kuala Tahan, Taman Negara Pahang



SIARAN MEDIA



‘BATEQ JUNGLE HUT’ tarikan terbaru di Kuala Tahan, Taman Negara, Pahang Darul Makmur.
Oleh Idris Mohamad
Gambar Comarl Hassan

29 Nov. – Kuala Tahan :

Perlaksanaan sebuah kawasan tumpuan pelancongan sama ada domestik atau luar negara dikenali dengan nama ‘Bateq Jungle Hut’ diwujudkan bersempena dengan Program Bersama Komuniti Eko Pelancongan (CBET) anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Pahang (MOTAC Pahang), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), PERHILITAN Pahang dengan kerjasama Kelab Pencinta Burung Taman Negara/ BirdGroup Taman Negara (BGTN).



BGTN salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi sejak 4 tahun lalu di Kuala Tahan turut menengahkan isu pemeliharaan alam sekitar. Hasil perbincangan penganjur dengan beberapa komuniti hanya kaum asli suku Bateq yang berani menyahut cabaran.  Justeru mereka berhasrat agar dapat menyediakan suatu pakej eko pelancongan semulajadi di penempatan mereka sendiri di persekitaran Kampung Dedari, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang  dan ternyata positif.



Malah kawasan tersebut yang terletak di Taman Negara dijangka menerima kunjungan para pelancong yang ingin merasai pengalaman bermalam di perkampungan tradisi orang Asli. Fasa pertama, 4 buah chalet tradisional dibina oleh komuniti orang Asli tersebut bersama sukarelawan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Fasa kedua pula merupakan tapak perkehemahan untuk 30 orang peserta.


Binaan chalet daripada kayu-kayan hutan Tropika yang terpilih menjadikan chalet tersebut begitu unik. Anyaman bumbung daripada daun nipah. Manakala kulit kayu pokok digunakan sebagai kemasan lantai dan dinding. Kemudahan tempat makan, ruang santai dan tandas turut disediakan untuk keselesaan para pengunjung.



Sejajar dengan hasrat kerajaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan Dasar Pelancongan Negara, sesuatu perkhidmatan dan pakej pelancongan berasaskan ‘Community Base Eco Tourism’ (CBET), haruslah sentiasa mampu berdaya saing, bermanfaat kepada komuniti dan mempunyai nilai tambah di atas kewujudannya serta berterusan. Boleh dikatakan ia merupakan ‘niche’ pasaran sekarang kerana para pelancong lebih tertarik kepada keunikan kerana dapat merasai sendiri pengalaman yang baru serta berbeza. Pengalaman bermalam di chalet orang Asli, berhampiran sungai dan bunyi-bunyian sang serangga memecah kesunyian di waktu malam adalah kenangan yang sukar dilupakan. 


Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hj. Idros Yahya, Pengarah MOTAC Pahang yang mewakili YB. Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris, Ahli Parlimen Jerantut. Di dalam ucapan perasmian Dato’ Hj. Idros menegaskan bahawa program ini direalisasikan hasil daripada perbincangan dengan komuniti sejak sebulan lebih yang lalu.

“Mereka (kaum Bateq) menyampaikan dari hati ke hati apakah yang boleh mereka sumbangkan kepada komuniti. Selain pelancong berkunjung melawat perkampungan mereka. Pelancong perlu merasai pengalaman menginap di kawasan tersebut. Keindahan alam semulajadi sebagai tarikan utama. Aktiviti bersama orang Asli juga sebagai daya penarik. Ternyata sumbangan tenaga kerja komuniti bergotong-royong bersama pelbagai agensi membuahkan hasil serta mendapat perhatian kerajaan membantu membiayai pembinaan chalet dan beberapa kemudahan asas tersebut.“




Tambah beliau lagi, “En. Roslan Abu Kassim, Pengerusi BGTN adalah antara pencetus kepada idea dan membantu mendapatkan kerjasama komuniti serta tidak jemu mengemukakan rancangan dan memohon peruntukan daripada pihak-pihak yang terlibat. Boleh dikatakan BGTN adalah di antara NGO yang didengari suara mereka dan selalu mendapat sokongan daripada agensi kerajaan mahupun swasta.”

“Beberapa aktivi lasak menanti  para pengunjung tempatan mahupun antarabangsa. Antaranya aktiviti mendaki Via Ferrata di Paya Gunung, menjejaki Gua Gelanggi dan mendaki Gunung Senyum. Semua lokasi aktiviti lasak tersebut juga boleh dijalankan dalam satu pakej,” ujar beliau.


Menurut Encik Roslan Abu Kassim“Sudah tiba masanya kita membantu komuniti orang asli suku Bateq mempunyai sumber pendapatan melalui pakej eko pelancongan dan boleh dimanfaatkan kepada generasi seterusnya.”

Apatah lagi kehidupan beliau sudah sebati dengan mereka kerana telah menjalinkan persahabatan dengan Batin Sena dan komuniti orang Asli di sini sejak kecil lagi, semasa ayahnya bertugas di Perhilitan.

“Antara pencapaian terbaik BGTN adalah mewakili Malaysia untuk pencalonan Asean CBT Terbaik Peringkat Asean di Myanmar dan menyertai British World Bird Fair di England pada tahun 2016,” ujarnya mengakhiri berbualan.




Penulis dan beberapa sukarelawan turut teruja dengan pengalaman pertama kali mendaki  Via Ferrata bersama Explore Pahang Outdoor (EPO). Via Ferrata yang pertama dan tertinggi di Malaysia terletak di Gunung Kinabalu manakala Via Ferrata di Kampung Paya Gunung, Jerantut adalah yang pertama dan tertinggi di Semenanjung.

Sebelum program gotong royong pembinaan chalet bersama komuniti bermula, kami berjaya mendaki dua puncak bukit berbatu tetapi perlu berhati-hati. Ianya memang penuh dengan cabaran. Malah suatu pengalaman yang sungguh menyeronokkan apabila melihat keindahan ciptaan Tuhan di atas puncak tersebut. Bimbingan latihan sebelum mendaki dan tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman amat diperlukan.


Kemudahan tandas, surau dan dewan makan juga disediakan. Antara lain adalah Gua Biawak, Gua Dalam dan Gua Kelawar terdapat juga di kawasan Kampung Paya Gunung ini. En. Nazri selaku Jurulatih EPO, turut mengucapkan terima kasih kepada MOTAC Pahang yang sentiasa peduli, memberi sokongan dan bantuan dana untuk memajukan kawasan tersebut.

Syarikat Mutiara Resort Taman Negara pernah melaksanakan ‘Team Building’ untuk kakitangan mereka baru-baru ini. Pertandingan ‘Jerantut Rock Climbing Via Ferrata Challenge 2017’ turut pernah diadakan. Malah, Kursus Perlesenan Pertubuhan Mendaki Asia Tenggara/ Licence Southern Asia Climbing Federation (SEACF) Tahap 1 dan 2 juga telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama MOTAC Pahang baru-baru ini. En. Nazri boleh dihubungi ditalian 019-918 9891 atau layari FB : Explore Pahang Outdoor



Sdr. Chan Chew Sham, Pengasas ParaPejalan Outdoors (PPO), yang turut menyertai program gotong royong ini turut memaklumkan bahawa PPO memainkan peranan sebagai Pengurusan Acara dan Promosi yang dilantik oleh EPO. Manakala EPO bertindak sebagai Pengurus Aktivi di Via Ferrata Paya Gunung.

“ParaPejalan Outdoors menyedari bahawa banyak destinasi yang menarik di Pahang yang selama ini dipandang sepi oleh pencinta sukan lasak dan alam semulajadi. Usaha untuk mempromosikan destinasi menarik di seluruh Pahang khususnya dan Malaysia amnya akan terus menjadi keutamaan PPO. ParaPejalan Outdoors melalui BANTTU (Be Always Near To The Unfortunates) sebuah badan sukarelawan yang akan diwujudkan bercadang untuk sentiasa membantu etnik orang asli suku Bateq di Kampung Dedari dengan menjadikan kampung tersebut sebagai kampung angkat”, ujarnya.




Manakala, Encik Rosming Pegawai JAKOA berpendapat,
“Sumbangan dana daripada MOTAC untuk merealisasikan program ini amat bermakna sekali.”

Beliau turut memaklumkan bahawa JAKOA turut menaja yuran persekolahan dan kos pengangkutan kanak-kanak kaum Bateq supaya tidak ketinggalan di dalam pendidikan.
“Kaum Bateq dianggarkan kira-kira 200 orang, terdiri daripada kanak-kanak, remaja dan dewasa. Mereka mengamalkan cara hidup nomad. Hasil hutan dan perikanan adalah punca utama sumber pendapatan mereka. Kemudahan pengangkutan air menggunakan bot memakan masa kira-kira 30 minit untuk ke Kuala Tahan,” tambah Encik Rosming.



Encik Abdul Jalil Abbdul Rahman atau lebih mesra dikenali sebagai Aki Jalil, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 24 Kuala Tahan, Jerantut berpendapat, “Komuniti ini memang amat memerlukan aktiviti bercorak sedemikian. 

Sumber semulajadi tersedia hanya hendak dijalankan sahaja. Cuma tanpa bantuan dan sokongan kerajaan (MOTAC) ianya tidak akan berjaya. Pihak media massa, NGO dan agensi pelancongan juga turut memainkan peranan penting mempromosi. Mereka patut menggembleng tenaga untuk menjual produk eko pelancongan di mata dunia.”

Komuniti akan lebih menyanyangi tempat mereka dan rasa lebih bertanggungjawab untuk membangunkannya hingga berjaya kerana mendatangkan pulangan kepada mereka suatu hari nanti. Tahniah juga saya ucapkan kepada komuniti Kampung Gol (10 km dari Kuala Tahan) telah berjaya dan sudah boleh berdikari dan memberi contoh kepada komuniti yang lain di sekitar Jerantut. Sekarang kami memberi sokongan kepada komuniti suku Bateq di Kampung Dedari,”





Satu kajian telah dibuat, kebiasaannya, para pelancong luar negara yang berkunjung ke Malaysia buat pertama kalinya adalah melalui agensi pelancongan. Namun, mereka memang berhasrat untuk berkunjung buat kali kedua dan seterusnya. Kebanyakan mereka akan turut serta bersama keluarga dan rakan-rakan. Malah mereka turut berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan menerokai eko pelancongan di negara kita yang terkenal dengan hutan hujan Khatulistiwa yang kaya dengan flora dan fauna.



‘Bateq Jungle Hut’ telah menerima beberapa tempahan daripada para pelajar dan guru sekolah antarabangsa dari England pada Januari 2018 akan datang. DIjangkakan beberapa pelancong dari Perancis akan menyusul kemudian.



Program turut dihadiri oleh Tok Batin Sena dan beberapa orang anak buahnya, para pegawai dari MOTAC Pahang, Majlis Daerah Jerantut, Bomba, Perhilitan, Mutiara Taman Negara, para Sukarelawan, media dan beberapa pelajar dari UiTM. En. Allan, Penguasa Taman Negara turut hadir di dalam majlis berkenaan.









Pasukan Sukarelawan ParaPejalan Outdoors dari Kuala Lumpur turut membantu menjayakan program gotong-royong tersebut.




Kelebihan penginapan di ‘Bateq Jungle Hut’ :

a) Merasai pengalaman kehidupan tradisional orang Asli.
     b) Aktiviti santai bersama orang Asli.
     c) Pengalaman bermalam di chalet tradisional.
     d) Suasana kehijauan dan keindahan alam semulajadi.
     e) Merasai sendiri makanan tradisional seperti ubi rebus dan sebagainya.
     f) Persembahan kebudayaan komuniti orang Asli. 
     g) Demonstrasi penyalaan api.
     h) Demonstrasi sumpitan.
     i) Jualan cenderamata.


Bersantai makan tengahari di tepi sungai setelah gotong-royong selesai

Kepada anda yang berminat dengan aktiviti lasak atau ingin merasai pengalaman bermalam di ‘Bateq Jungle Hut’, sila hubungi : Encik Chan Chew Syam ditalian 019-771 1179 atau layari FB : ParaPelajan Outdoors


*Via Ferrata adalah jalur pendakian yang menggunakan kabel yang terbentang di sepanjang perjalanan dan secara berkala yang disediakan tetap pada batu. Via Ferrata berasal dari Bahasa Itali yang bermaksud jalan besi.



Comments

Popular posts from this blog

PUSAT JAGAAN AL-FIKRAH MALAYSIA ~ RUMAH KEBAJIKAN LELAKI & WANITA

PENGUCAPAN AWAM UNTUK PELAJAR SEKOLAH MENENGAH & LEPASAN SPM

26 MAC : FORUM KEUSAHAWANAN MALAYSIA (FOKEM) 2015 @ MENARA MATRADE, KL