CERAMAH UMUM : 'JESUS' DI DALAM BIBLE & QUR'AN (Mohon Sebarkan)
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh …
Semoga ikhwah dan akhawat
berada di dalam iman yang sejahtera.
CERAMAH UMUM ::
‘JESUS’ DALAM BIBLE DAN QUR’AN
Tarikh : 23
DISEMBER 2013 (ISNIN)
Masa : SELEPAS MAGHRIB
Lokasi : MADRASAH
EHSANIAH, AMPANG JAYA.
PENCERAMAH : TN. HJ. AYUB ABDUL RAHMAN
(bekas Paderi di German dan
bekas Pengampun Dosa Antarabangsa)
Pameran Hidayah Centre
Foundation turut diadakan.
Orang ramai dijemput hadir.
Mohon sebarkan ....
Jom Dakwah!!!
Keterangan lanjut mengenai HIDAYAH CENTRE sila hubungi :
ZUN 'ARIF HAKIM B. ABDUL
RAHMAN
Pengurus Dakwah, JK Dakwah
Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
Lot 300.3, Lorong Selangor,
Pusat Bandar Melawati,
53100 Kuala Lumpur.
HP: 017-3667126
Office : 03-41089669
Fax : 03-41071754
Siapa TN. HJ. AYUB
ABDUL RAHMAN ?
Ikuti kisahnya
di sini …
Ayub
Abdul Rahman dulu paderi kini Daie
Oleh: SITI AINIZA KAMSARI
PADA
8 Ogos tahun lalu, seluruh umat Islam amat merasai kehilangan ulama besar dan
pendakwah terkemuka Sheikh Ahmed Hossen Deedat yang meninggal dunia dalam usia
87 tahun. Ramai beranggapan tidak akan ada Ahmed Deedat yang kedua selepas
kematiannya itu. Hanya Allahyarham sahaja yang mampu berdialog mengenai soal
ajaran Kristian dan kitab Bible bagi tujuan menyerlahkan lagi kebenaran ajaran
Islam itu sendiri.
Namun
pertemuan penulis dengan seorang lagi pendakwah baru-baru ini tidak syak lagi
mampu membuka lembaran baru mengenai 'kemunculan' atau pengganti Ahmed Deedat
walaupun mungkin tidak sehebat Allahyarham. Bahkan lebih menariknya, Ustaz Ayub
Abdul Rahman 59, sendiri dahulunya seorang seorang pendita atau Paderi Besar
Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan
pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman
selama hampir 10 tahun.
Gereja
tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris)
merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris
yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut
Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara
Eropah.
Bagaikan
jauhari mengenal manikam. Ayub adalah tokoh yang selayaknya memperkatakan
ajaran Kristian dan amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu. Namun
sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya kini terhadap Islam, tidak ada
sesiapa dapat mempertikaikan sehinggakan orang ramai tidak ragu-ragu
memanggilnya Ustaz mahupun Tuan
Haji Ayub.
Komitmen
beliau yang begitu padu terhadap Islam terutama dalam gerakan dakwah dan
kebajikan Islam mendapat penghargaan banyak pihak dan terbaru, beliau
dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak (Saudara Baru) 2005. Beliau
mempunyai fasa-fasa hidup yang cukup menarik bermula dari seorang yang begitu
mengabadikan diri terhadap Kristian, akhirnya dilimpahkan dengan nur dan
hidayah Allah untuk memeluk Islam pada 4 September 1978.
Saya telah mempunyai kehidupan
yang begitu sempurna semasa menjadi paderi katanya ketika ditemui di
Yayasan Jenderami, Dengkil, Sepang di Selangor baru-baru ini. Kesempurnaan yang
dinikmati dalam institusi gereja itu membolehkan Anthony mengecap kesenangan
dalam hidup. Segala-galanya
disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan
membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kenderaan mewah untuk
membawa saya ke mana sahaja.
Ini tidak termasuk tiket-tiket
penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelusuk dunia. Jadi saya tidak ada
masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan
segera dipenuhi, katanya yang telah menjejaki 22 negara
bagi menjayakan misionari Kristiannya. Tugas sebagai Biecht-vader iaitu
mengampunkan penganut Kristian yang berdosa turut memberikan kepuasan kepada
jiwa Anthony ketika itu. Pernah kata Ayub, beliau diminta mengampunkan penghuni
kubur atas permintaan keluarga si mati.
Sehinggalah
pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau yang setenang
air di kali selama ini mula terganggu. Tanpa seseorang itu dibaptiskan, tidak
memungkinkan seseorang itu menghuni syurga! Apabila saya terbaca ayat itu,
hati saya begitu terusik. Ini kerana secara tiba-tiba saya terkenangkan jiran-jiran
saya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang.
Mereka
merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka
menjalani ibadat puasa Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan
menerima
juadah berbuka puasa mereka. Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut
walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan.
Begitu juga apabila ada ahli
keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu
saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa
kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira. Saya kira mereka merupakan
jiran terbaik yang pernah saya jumpa kata Ayub. Apabila mengenangkan kebaikan
jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan
mereka itu akan berakhir dengan masuk ke neraka!
Saya benar-benar sedih kerana
mereka ini tidak pernah dibaptiskan maka tentunya mereka tidak akan layak masuk
ke
syurga Allah. Sehinggakan buat pertama kali saya memperkenalkan sembahyang malam yang
sebelum ini tidak ada dalam cara orang Kristian beribadat. Ini kerana saya
benar-benar memerlukan jawapan mengenai persoalan ini, jelasnya. Oleh kerana memiliki
kunci pintu gereja maka pada suatu malam, dihadapan altar beliau sembahyang dan
merayu kepada
tuhan supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka.
Namun
bagi Anthony sudah sampai tahap dan masa untuknya mengubah akidah umat Islam
itu sendiri. Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan
mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan
umat Islam itu sendiri. Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun
1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi
membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.
Pada mulanya untuk selama tiga
bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh
tuhan, saya
tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui
hanyalah keindahan Islam. Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab
al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada
dari Afrika,
Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama.
Kata-kata Allah itu begitu
terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Malah
nama agama itu sendiri, memang ada tertulis di dalam al-Quran dan makna dari ayat 85
Surah al-Imraan benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih
ketakutan.
Dan
sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima
daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imraan:
85)
Jadi, siapa sebenarnya yang
akan rugi di hari akhirat kelak?, katanya.
Menurut
Ayub, adalah tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya
sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak
mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak
diperolehi oleh penganut lain. Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau
oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali, katanya.
Namun
4 September 1978 mencatatkan tarikh yang bersejarah apabila paderi ini akhirnya
dengan seikhlas hati mengakui keesaan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu yang
tidak disekutukan dengan mana-mana makhluk lain termasuk Nabi Isa a.s. Beliau
diIslamkan di bumi Sarawak sebagai saksi dengan dibantu oleh Ketua Menteri
Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob.
Jadi, tahulah anda dari mana
saya mendapat nama Abdul Rahman selepas saya memilih Ayub sebagai nama Islam
saya, katanya. Rupa-rupanya tindakan Ayub memeluk Islam
itu bukan sahaja menimbulkan kejutan kepada banyak pihak namun yang lebih tidak
sangka-sangka sehingga membahayakan nyawanya pada masa itu.
Tidak dapat dilupakan bagaimana
takut dan ngerinya saya pada masa itu apabila rumah yang saya diami dibaling orang dengan
ketulan-ketulan batu. Tidak sangka tindakan saya memeluk Islam tidak disenangi oleh sesetengah
pihak, katanya. Demi keselamatan dirinya, Ayub
terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah
Al Mukarramah selama tiga tahun. Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah!
Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk
menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan peluang yang
sebegini hebat.
Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan
kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di
hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup
tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil
dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya, katanya.
Selama
tiga tahun itu, Ayub mengambil kesempatan mendalami Islam dalam semua aspek
terutama al-Quran bagi menambahkan keyakinan dan memberikan kekuatan sebagai
seorang yang baru dalam Islam. Hanya kebelakangan ini sahaja, Ayub memberanikan
diri berdakwah secara terbuka termasuk memasuki segenap pelusuk pedalaman
Sarawak dan Semenanjung bagi menyebarkan Islam sambil melakukan pelbagai kerja
kebajikan. Namun seperkara yang menarik mengenai Ayub ini apabila setiap hujung
minggu, beliau menukar statusnya sebagai pemandu pelancong.
Hujung-hujung minggu saya pasti
berada di perkarangan masjid-masjid di sekitar Kuching. Di situ saya berperanan
sebagai pemandu pelancong kerana ramai menjadikan Masjid Bahagian Kuching
sebagai destinasi kunjungan mereka setiap kali datang ke sini. Daripada mereka
terjengok-jengok dan tiada sesiapa membantu untuk menjelaskan fungsi dan
peranan masjid, adalah lebih baik saya menemui rombongan pelancong yang rata-ratanya
warga Barat itu dan mengajak mereka masuk dan melihat sendiri keadaan dan
suasana masjid, katanya yang telah tiga kali
mengerjakan haji dan bercadang ke Tanah Suci sekali lagi tahun ini.
Kebanyakan
mereka ini, kata Ayub, mempunyai salah tanggapan mengenai Islam dan masjid itu
sendiri. Ini termasuklah percaya terdapat patung Nabi Muhammad dalam masjid
kerana menganggap baginda merupakan tuhan yang memperkenalkan agama yang mereka
panggil sebagai Muhamaddan, golongan wanita dinafikan hak mereka untuk beribadat di masjid dan
sebagainya. Jadi saya
ajak mereka masuk dan lihat sendiri akan patung tersebut. Ini kerana mereka
mungkin menganggap ajaran Islam seperti ajaran Kristian yang terdapat patung
Jesus di dalam gereja.
Tetapi apabila mereka mendapati
suasana di dalam masjid tidak seperti yang mereka sangkakan, lalu mereka
kehairanan. Di sinilah saya mengambil kesempatan memberi gambaran sebenar
mengenai masjid dan terangkan mengapa tidak perlu adanya sebarang patung, apa
itu arah kiblat dan sehinggalah mengapa diasingkan jemaah lelaki dan perempuan.
Apabila tiba waktu sembahyang,
saya meminta mereka melihat sendiri bagaimana orang Islam sembahyang dan saya
bersedia menjawab apa juga persoalan yang diajukan selepas itu. Begitu juga apabila kedengaran
seruan azan yang mereka anggap sebagai lagu ibadat paling merdu yang pernah
mereka dengar, saya akan jelas makna di sebalik lagu merdu itu, katanya
yang menggunakan kelebihan berbahasa Jerman dan Inggeris bagi tujuan dakwah
itu.
Ketika
ditemui penulis, Ayub sedang membantu seorang lagi saudara baru iaitu merupakan
pelancong Finland yang menghadapi pelbagai kesukaran di sini. Lawatannya di
kampung-kampung masyarakat Melayu di sekitar Lumut, Setiawan dan Seri Manjung,
Perak baru-baru ini menyebabkan lelaki Finland ini begitu tertarik kepada Islam
dan terus memeluk agama itu. Tindakan itu menyebabkan isterinya di Finland begitu marah dan menganggap
apabila suaminya itu memeluk Islam bererti dia akan menjadi pengganas serta
menggalas senjata. Lalu keluarga pelancong ini memberi amaran jika dia pulang
semula ke negaranya itu, dia akan mati ditembak.
Jadi siapa sebenarnya yang ganas? Malah mereka
menganggap kehadiran Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad ke negara ini baru-baru
ini semata-mata untuk merekrut askar dan tentera di kalangan orang Islam di
negara ini untuk tujuan keganasan. Sehingga begitu sekali tanggapan mereka
mengenai Islam, katanya yang sedang membantu mengenai
kebajikan pelancong itu di sini.
Berkahwin
dengan Baiti Adenan, 59, dan mempunyai dua anak lelaki, Musa, 22, dan Isa,
Ayub, 20, meniti kehidupan yang lebih bermakna dan bahagia. Menariknya, beliau
lebih kerap memanggil anak-anak lelakinya itu dengan panggilan Moses and Jesus. Pernah ada yang meminta
kepastian dari saya, benarkah dengan menggunakan telefon bimbit saya sedang
bercakap dengan Nabi Musa dan Nabi Isa?, katanya sambil tertawa kecil.
Setiap
tahun, melalui satu pertandingan, anggota-anggota Pasukan Bulan Sabit Merah
(PBSM) di Kuching Sarawak akan merebut piala yang dianggap berprestij di sana,
iaitu Lazaramah Viagulam Challenge Throphy. Tetapi apa kaitannya dengan Ayub? Piala ini sebenarnya dari saya bagi menggalakkan
anak-anak muda supaya menderma darah bagi membantu Tabung Darah Negara dan nama
piala itu merupakan sempena kasih sayang saya yang tidak ada tolok bandingnya
lagi terhadap ibu saya yang tercinta (Lazaramah, 80). Ibu saya itu merupakan manusia kedua
terpenting dalam hidup saya selepas Allah dan Rasul-Nya.
Walaupun dia masih Kristian
tetapi tidak ada apa yang boleh menghalang kasih sayang kami, katanya
yang begitu gembira kerana dapat berjumpa bagi meraikan hari lahir ibunya
baru-baru
ini. Ayub benar-benar Muslim yang berbeza. Beliau mempunyai senarai kerja
kebajikan yang panjang di Kuching. Antaranya Out Reach HIKMAH, Naib Yang
Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Sarawak, Jawatankuasa PERYATIM, Sarawak
dan Perkim Sarawak.
Maka
untuk mengenali beliau lebih dekat lagi, ikutilah kisah hidup Ayub yang akan
ditayangkan melalui Program Kembara Iman- Saudara Baru yang akan disiarkan oleh
Saluran TV Astro sempena menyambut dan pengisian rancangan untuk Ramadan tahun
ini.
Sumber - Artikel Penuh : © Utusan
Melayu (M) Bhd
Comments
Post a Comment